fb fb fb fb fb

96 Komuniti Madani ditubuhkan di Terengganu

Komuniti Madani ditubuhkan di setiap 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)/Foto JaPen Terengganu

SETIU, 29 September - Sebanyak 96 Komuniti Madani berjaya ditubuhkan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di Terengganu.

Penubuhan ini memenuhi sasaran Jabatan Penerangan Negeri Terengganu (JaPen) dalam usaha melestarikan komuniti yang berinformasi serta menyampaikan maklumat yang sahih, telus, dan bermanfaat kepada masyarakat.

Pengarah JAPEN Terengganu, Sait Yaman berkata, Komuniti Madani ini ditubuhkan di setiap 32 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mereka yang terlibat akan berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, menyampaikan maklumat serta mendapatkan maklum balas daripada masyarakat di peringkat akar umbi.

"Komuniti Madani ini adalah satu daripada rakan strategik kami dalam merealisasikan pelbagai aktiviti, bukan sahaja di kalangan Jabatan Penerangan tetapi juga rakan-rakan strategik lain.

"InsyaAllah, penubuhannya dalam tempoh dua tahun ini banyak memberi manfaat kepada masyarakat setempat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Karnival Kita Madani Peringkat Negeri Terengganu di Felda Chalok Barat, Setiu pada Sabtu.

Hadir sama dalam majlis tersebut ialah Pengarah Felda Wilayah Terengganu, Shahruddin Ab Rahman.

Turut disampaikan dalam majlis itu adalah watikah penubuhan rasmi kepada 96 Komuniti Madani.

GRACE AISYAH KEDAYAN