fb fb fb fb fb

96 anggota APM Terengganu ditugaskan sepanjang Aidilfitri

Kolonel Pertahanan Awam Mohd Rosman Abdullah

KUALA NERUS, 7 April- Seramai 96 anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu ditugaskan sepanjang pelaksanaan Op Prihatin APM sempena Aidilfitri 2024.
 
Op Prihatin terbahagi kepada dua fasa itu yang bermula dua hari lalu, iaitu hingga 9 April ini bagi fasa pertama, dan fasa kedua pada 12 hingga 14 April.

Pengarah APM Terengganu Kolonel Pertahanan Awam Mohd Rosman Abdullah berkata, pada tempoh tersebut anggotanya akan ditugaskan membuat rondaan serta membantu pengguna jalan raya yang mengalami kecemasan.
 
Operasi tersebut juga tidak fokus pada rondaan di jalan utama negeri dan persekutuan, malah tempat tumpuan pengguna jalan raya seperti, hentian rehat.

"Seramai 96 orang pegawai dan anggota terlibat akan melakukan rondaan di jalan persekutuan bagi membantu pihak berkuasa untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.

"Di samping, Op Prihatin kita juga termasuk memberi bantuan kepada pengguna sekiranya terdapat kerosakan-kerosakan kecil terhadap kenderaan," katanya selepas majlis pelancaran operasi tersebut di Pejabat APM Negeri Terengganu, di sini.

Dalam majlis sama Mohd Rosman juga mengagihkan sumbangan barang Op Prihatin kepada wakil pegawai pertahanan awam daerah.
 
Dalam perkembangan lain, beliau turut memaklumkan pihak APM Terengganu telah menangkap 1,966 ular pelbagai spesies bermula awal tahun ini sehingga Mac.
 
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati terutama pada musim panas.
 
Ia berikutan haiwan itu akan keluar dari habitatnya untuk mencari tempat lebih sejuk selain mencari sumber makanan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI