fb fb fb fb fb

90 peratus graduan Kolej Vokasional dapat kerja lepas tamat pengajian

KULIM, 9 Julai - Kolej Vokasional di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) mencapai kejayaan yang memberansangkan apabila lebih 90 peratus graduannya mendapat pekerjaan selepas tamat pengajian.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, ini kerana menerusi 606 program diploma yang ditawarkan, graduan kolej itu mempunyai kemahiran yang berkualiti.

"Sukacita dimaklumkan bahawa kadar kebolehpasaran graduan Kolej Vokasional kami telah melepasi 90 peratus dan kesemua 606 program diploma yang kami tawarkan telah mendapat akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).

"Kita perlu hebahkan kepada orang ramai supaya mereka sedar peluang yang ditawarkan di Kolej Vokasional kita," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO 2023) di Kolej Vokasional Kulim di sini, hari ini.

(Majlis Perasmian Penutupan Pertandingan Inovasi dan Robotik Peringkat Kebangsaan 2023 (INORO 2023) di Kolej Vokasional Kulim/FOTO Kolej Vokasional Kulim)

Fadhlina berkata, bagi memastikan agar program yang ditawarkan selari dengan permintaan industri, kementerian turut bekerjasama rapat dengan pelbagai pemain industri negara.

"Ini untuk memastikan graduan kami kekal relevan dengan permintaan industri," tambahnya.

Beliau juga berkata kementerian sedang melaksanakan dua program baharu membabitkan Kolej Vokasional tidak lama lagi.

"Yang pertama ialah program khidmat masyarakat 'KV Insani Malaysia Madani' yang mana pelajar akan turun padang untuk menjalankan aktiviti amal berdasarkan bidang latihan mereka.

"Kedua ialah 'Tahfiz TVET' untuk menyediakan latihan teknikal kepada pelajar tahfiz di seluruh negara," katanya.

 

Media Baharu