
KUALA LUMPUR, 14 Februari – Sembilan inisiatif berasaskan komuniti terpilih sebagai penerima Program Geran Komuniti Merdeka 118 yang memasuki pusingan ketiga.
- Program Geran Komuniti Merdeka 118 pusingan ketiga memilih sembilan inisiatif komuniti untuk menerima geran.
- Inisiatif terpilih menyokong pembangunan tempat, keceriaan budaya dan kesejahteraan sosial sekitar Menara Merdeka 118.
- Program bermula 2021 bersama Think City memberi dana kepada organisasi kreatif dan perusahaan sosial bagi projek komuniti.
PNB Merdeka Ventures Sdn. Berhad (PNBMV) berkata, kesinambungan program itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menyokong projek yang menyumbang kepada pembangunan tempat, keceriaan budaya dan kesejahteraan sosial di kawasan sekitar menara Merdeka 118.
Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures, Datuk Ir. Izwan Ibrahim dalam kenyataan berkata, pihaknya ingin terus menyokong inisiatif berlandaskan komuniti dan responsif kepada keperluan tempatan menerusi Program Geran Komuniti Merdeka 118.
”Sembilan projek yang terpilih telah menunjukkan kepelbagaian idea, bakat dan perspektif masing-masing.
”Usaha kendalian komuniti ini menunjukkan bagaimana usaha-usaha ini dapat membentuk persekitaran bandar yang lebih meriah, terangkum dan kaya budaya, sambil menekankan peranan Merdeka 118 sebagai lokasi teras di dalam inisiatif Warisan KL,” jelasnya.
Sembilan penerima pusingan ketiga Program Geran Komuniti Merdeka 118 ialah Pucks & Friends Events; Persatuan Penduduk Sri Selangor, Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL); Lain-Lain Design; Apostrophe Marketing Communications Sdn. Bhd.
Selain itu, Dipapansembilan Studio; SilverLab Project Enterprise; The Bridge of Asia; DIA Academy Sdn. Bhd dan Wehn Legacy.
Program Geran Komuniti Merdeka 118 yang diperkenalkan pada 2021 dengan kerjasama Think City, menyediakan dana sokongan kepada pelbagai organisasi, badan kreatif dan perusahaan sosial yang melaksanakan projek yang membawa hasil bermakna kepada komuniti kejiranan setempat