SELAYANG, 11 Disember- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Taskforce Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai berjaya memulihkan 862 projek atau 102,808 unit perumahan swasta dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM85.82 bilion dalam tempoh dua tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming, bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Oktober lalu sebanyak 410 projek telah berjaya dipulihkan melibatkan 49,111 unit perumahan swasta dengan GDV bernilai RM46.01 bilion.
Jumlah projek yang berjaya dipulihkan itu merangkumi 385 projek yang telah berjaya memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and Compliance (CCC)).
18 projek berstatus lewat menjadi lancar dan tujuh projek terbengkalai berjaya dipulihkan melalui kaedah penyiapan projek hingga memperoleh CCC/CFO dan kaedah penyelesaian pembeli.
"Yang tidak diselesaikan itu kita akan ambil tindakan-tindakan yang akan diambil termasuk senarai hitam projek. Bermula tahun depan mereka ini tidak akan diberikan projek, kita akan buat pindaan.
"Sekiranya sabit kesalahan di mahkamah terbukti melakukan penipuan mereka akan dihalang keluar negara seperti berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak boleh ke luar negara," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Pembukaan 168 Park Mall di sini.
Pada 2025, KPKT akan menambah baik aspek perundangan sedia ada melibatkan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757).
Bagi Akta 118, KPKT sedang melaksanakan penggubalan rang undang-undang akta baharu iaitu Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) bagi menggantikan Akta 118.