86,030 murid di Kota Setar, Pendang mula PdPR hari ini

Guru Matematik Tambahan, Nur Atina Osman, sedang mengendalikan kelas hibrid melibatkan pelajar yang tinggal di asrama semasa sesi PdPR hari ini/Foto BERNAMA

ALOR SETAR, 29 Mac – Seramai 86,030 murid di daerah Kota Setar dan Pendang memulakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) hari ini susulan cuaca panas yang melanda Kedah.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan PdPR melibatkan 206 sekolah dan lebih 9,000 guru di kedua-dua daerah.
  • Kota Setar: 154 sekolah dengan 65,634 murid mengikuti PdPR.
  • Pendang: 52 sekolah membabitkan 20,396 murid dalam sesi PdPR.
  • Murid asrama belajar bersemuka di lokasi sekolah; pemantauan berterusan dilakukan dan PdPR diteruskan jika suhu kekal 37 darjah Celsius tiga hari.

Pelaksanaan itu melibatkan 206 sekolah di kedua-dua daerah berkenaan dengan lebih 9,000 guru turut terlibat dalam sesi PdPR tersebut.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah , Abdul Rahim Mat berkata daripada jumlah itu, seramai 65,634 murid melibatkan 154 sekolah di daerah Kota Setar.

Manakala di Pendang, seramai 20,396 murid terlibat membabitkan 52 sekolah rendah dan menengah.

Menurutnya, murid yang tinggal di asrama pula mengikuti pembelajaran secara bersemuka di lokasi yang ditetapkan di sekolah masing-masing.

“Pemantauan akan dibuat secara berterusan bagi menentukan tindakan seterusnya. Jika keadaan cuaca kembali normal, sesi persekolahan akan dijalankan seperti biasa.

“Bagaimanapun, sekiranya suhu kekal pada 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut, PdPR akan diteruskan selaras garis panduan ditetapkan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau sesi persekolahan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sultanah Asma di sini.

Pelaksanaan PdPR yang bermula hari ini hingga Selasa dilaksanakan di daerah Kota Setar dan Pendang selepas kedua-dua daerah itu merekodkan tahap suhu harian Tahap 2 selama tiga hari berturut-turut.