fb fb fb fb fb

86 lokasi tanah mendap telah dikesan di Lembah Kinta - Exco

Foto Fail

IPOH, 6 Disember- Sebanyak 86 lokasi bencana tanah mendap dikesan berlaku di Lembah Kinta, Ipoh, setakat ini.

Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata lokasi bencana tersebut direkodkan sejak 1971 dengan kesan mendapan antara 10 hingga 200 meter.

Jelasnya, berdasarkan kajian Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, kesemua kawasan berkenaan didasari batu kapur Kinta dan merupakan kawasan bekas lombong yang telah ditebus guna untuk pembangunan.

"Kerajaan melalui PBT berkaitan telah melaksanakan Sistem OSC dimana setiap permohonan pembangunan akan diulas oleh agensi berkaitan sebelum sesuatu permohonan pembangunan terutamanya skim perumahan diluluskan.

Dalam konteks JMG pula, setiap permohonan itu perlu disertakan dengan laporan siasatan tanah/tapak untuk diulas oleh JMG berkaitan kesesuaian tapak/tanah untuk dimajukan," kata Mohammad Nizar dalam sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, di sini.

Tambahnya, isu tanah mendap yang berlaku di rizab jalan yang melibatkan mendapan (sink hole), kerja-kerja pembaikan akan dilaksanakan dengan kadar segera melalui pihak konsesi Puncak Emas.

Mendapan atau kerosakan yang berlaku dalam bangunan kediaman di kawasan perumahan pula adalah di bawah tanggungjawab pemilik untuk membuat kerja-kerja pembaikan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM