PUTRAJAYA, 31 Ogos – Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) semalam merekodkan sambutan luar biasa apabila 850,000 penerima berbelanja lebih RM50 juta setakat pukul 9.30 malam.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan memaklumkan, jumlah transaksi yang tinggi menyebabkan rangkaian MyKasih mengalami kesesakan dan prestasi perlahan di beberapa lokasi.
Bagaimanapun, semua transaksi tetap diterima dan diproses.
Bagi memastikan kelancaran seterusnya, Kementerian bersama MyKasih sedang meningkatkan kapasiti sistem selain melaksanakan kerja penyelenggaraan malam ini bagi menstabilkan operasi.
Kementerian turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku dan menegaskan pemantauan rapi diteruskan agar inisiatif ini berjalan lancar demi manfaat rakyat.