KUALA LUMPUR, 12 September - Proses urbanisasi di Malaysia dijangka terus meningkat dengan anggaran 85 peratus penduduk tinggal di kawasan bandar menjelang tahun 2040, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming.
Beliau berkata, trend itu mencerminkan kemajuan pesat negara dalam pembangunan bandar namun turut membawa cabaran baharu seperti banjir kilat, kesesakan jalan raya serta tekanan terhadap kemampuan memiliki rumah.
Menurutnya, urbanisasi perlu dilihat dalam konteks keadilan sosial, bukan hanya dari sudut kemajuan fizikal. Pembangunan yang inklusif, katanya, penting agar tiada golongan yang terpinggir.
Nga berkata demikian ketika berucap pada Simposium Kejuruteraan Bandar 2025 anjuran Institut Jurutera Malaysia (IEM) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.
Bagi menangani kesan negatif urbanisasi, KPKT melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penggunaan perjanjian jual beli secara digital, galakan terhadap sistem bina dulu jual kemudian serta insentif kepada pemaju yang terlibat dalam pemulihan projek perumahan terbengkalai.
Dalam menyediakan kediaman mampu milik, projek perumahan kos rendah kini dijenamakan semula sebagai Residensi Rakyat (PRR) dengan penekanan kepada teknologi hijau seperti pemasangan panel solar, sistem tadahan air hujan, ciri rumah pintar serta elemen pertanian bandar.
Selain itu, KPKT menyasarkan pembinaan 1,000 Taman Madani dalam tempoh sedekad sebagai komitmen ke arah kehidupan bandar yang lebih lestari.
Nga turut memaklumkan, satu undang-undang baharu akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari tahun depan yang mewajibkan individu membuang sampah sembarangan menjalani khidmat masyarakat selama 12 jam.
Beliau menegaskan, perancangan rapi dan kerjasama pelbagai pihak amat penting bagi memastikan urbanisasi tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat dan kestabilan negara.