SHAH ALAM, 1 April- Seramai 82 mangsa kebakaran di Jalan Putra Harmoni, Putra Height, Subang Jaya berjaya diselamatkan setakat tengah hari tadi.
Menurut Menteri Besar Selangor, Dato Seri Amirudin Shari, daripada jumlah itu, 12 orang cedera dan telah menerima rawatan awal di Surau Nurul Iman serta Kuil Sri Maha Kaliaman sebelum ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights.
Menerusi hantaran di laman X, Amiruddin memaklumkan PPS itu dibuka bagi menempatkan penduduk yang terjejas dengan insiden kebakaran berkenaan.
“Unit Pengurusan Bencana Daerah telah mengaktifkan PPS di Masjid Putra Heights bagi menempatkan mangsa yang terlibat sementara waktu sehingga keadaan pulih dan terkawal,” katanya.
Terdahulu media melaporkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sedang memindahkan penduduk setempat dari lokasi berhampiran kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya, dekat sini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata kebakaran berkenaan yang melibatkan kebocoran saluran paip gas dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter, berlaku berhampiran kawasan perumahan awam.