800 kontena e-waste disyor hantar pulang – AKPS

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal /Foto BERNAMA

PELABUHAN KLANG, 11 Mac– Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) dijadualkan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok (Khamis) berhubung isu lambakan kontena yang disyaki mengandungi sisa elektronik (e-waste) yang masuk ke dalam negara.

RINGKASAN BERITA AI
  • Fokus pengesanan, pemeriksaan dan penyelarasan antara agensi bagi menangani penghantaran haram e-waste yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negara.
  • Keutamaan cadangan repatriasi kontena e-waste disekat dan memperincikan prosedur untuk memudahkan pemulangan ke negara asal.
  • AKPS kenal pasti lebih 800 kontena disyaki e-waste; tubuhkan Pasukan Petugas Bersama melibatkan JKDM, JAS, SIRIM dan Port Klang Authority.

Komander AKPS Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata pertemuan itu akan memberi tumpuan kepada pengesanan, pemeriksaan dan penyelarasan tindakan antara agensi bagi menangani penghantaran haram yang boleh menjejaskan keselamatan serta ekonomi negara.

Beliau berkata, perkara itu akan dibentangkan oleh Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain di Putrajaya.

Menurut beliau, fokus utama ketika ini adalah memperincikan aliran prosedur bagi memudahkan proses pengalihan dan penghantaran semula kontena tersebut ke negara asal.

“Kami akan memberi keutamaan untuk mengesyorkan repatriasi kontena berisi e-waste yang telah disekat di pelabuhan di sini. Isu ini perlu dilihat sebagai cabaran nasional yang dikongsi bersama,” katanya selepas Program Iftar Perdana Agensi AKPS Pelabuhan Klang bersama Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

Tambah beliau, AKPS telah mengenal pasti lebih 800 kontena disyaki mengandungi penghantaran e-sisa secara haram yang memerlukan tindakan segera bagi mengelakkan penyalahgunaan dan risiko keselamatan di pelabuhan.

Beliau berkata pihaknya telah menubuhkan Pasukan Petugas Bersama E-Waste di peringkat Pelabuhan Klang membabitkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Alam Sekitar (JAS), SIRIM Berhad dan Port Klang Authority bagi menyelaraskan tindakan dan maklumat antara semua pihak.

Beliau berkata keselamatan dan pematuhan undang-undang import sentiasa menjadi keutamaan AKPS bagi memastikan tiada kegiatan haram yang menjejaskan negara dan pelabuhan beroperasi secara selamat serta teratur.