
KUALA LUMPUR, 4 Februari – Sebanyak 80 daripada 104 hospital swasta yang berdaftar telah menyertai 23 sesi latihan berkaitan pelaksanaan kumpulan berkaitan diagnosis (DRG), sekali gus menunjukkan tahap penerimaan dan komitmen yang baik terhadap pelaksanaan sistem berkenaan.
- 80 daripada 104 hospital swasta menyertai 23 sesi latihan DRG, menunjukkan penerimaan dan komitmen baik.
- Pelaksanaan DRG kini dalam fasa pengumpulan data minimum untuk membangunkan algoritma sistem.
- KKM tegaskan sebarang tindakan yang menggugat kebebasan pengamal perubatan boleh dianggap tidak konsisten dengan Akta 586.
- KKM aktif dalam Grievance Mechanism Committee bersama BNM, MMA, APHM, ITOs dan TPA untuk mencari penyelesaian.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan DRG kini berada pada fasa pengumpulan data minimum bagi membangunkan algoritma sistem, selain memperkukuh kesiapsiagaan teknikal dan operasi hospital swasta.
“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memandang serius akan perkara ini. Bagi menangani perkara ini secara adil, KKM menegaskan bahawa apa-apa tindakan yang boleh menggugat kebebasan pengamal perubatan melaksanakan tanggungjawab mereka merawat pesakit, boleh ditafsirkan sebagai tidak konsisten dengan peruntukan undang-undang sedia ada dalam Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586),” beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berhubung status terkini pelaksanaan DRG.
Menurutnya lagi, KKM juga memainkan peranan aktif dalam Grievance Mechanism Committee (GMC), sebuah platform yang turut dianggotai oleh Bank Negara Malaysia (BNM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Persatuan Hospital Swasta (APHM), Persatuan syarikat insurans dan pengendali takaful (ITOs) dan pentadbir pihak ketiga (TPA), untuk membincangkan serta mencari penyelesaian tuntas bagi isu-isu pokok yang dibangkitkan bersama pemegang taruh.