SHAH ALAM, 26 Mac – Sebanyak 76,000 ekor babi di Selangor telah dilupuskan minggu lalu selepas 57 ladang babi di Kuala Langat dan Sepang disahkan positif demam babi Afrika (ASF).
Exco Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim berkata pelupusan dilakukan lebih awal daripada jangkaan asal, iaitu 31 Mac.
Menurutnya, daripada jumlah tersebut, 14,000 ekor babi dilupuskan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar, manakala selebihnya mati akibat jangkitan dalam tempoh dua hingga 10 hari.
“Jabatan Veterinar telah menjalankan siasatan pada 25 Februari dan mendapati 56 ladang daripada 114 ladang yang diperiksa positif ASF. Sebuah lagi ladang yang beroperasi secara haram turut disahkan positif, menjadikan jumlah keseluruhan 57 ladang terjejas,” katanya dalam sidang media khas di sini.
Selain itu, 68 ekor babi dengan anggaran berat 9,405.7 kilogram karkas telah disita atas pelbagai kesalahan, membabitkan nilai rampasan sebanyak RM472,900.
Izham berkata, tujuh kertas siasatan telah dibuka dan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 34 dan Seksyen 36 Akta Binatang 1953.
Susulan wabak ASF yang menjejaskan penternak dan bekalan makanan, kerajaan negeri kini sedang menyediakan kertas dasar bagi menguruskan ladang babi di Selangor.
“Kertas cadangan ini akan dibentangkan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri bagi menentukan langkah seterusnya dalam pengurusan ladang babi di negeri ini,” tambahnya.