fb fb fb fb fb

75 usahawan Perlis terima bantuan peralatan mula perniagaan

Foto RTM

ARAU, 20 Januari - Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) sentiasa berusaha dan menyediakan pelbagai jenis bantuan kepada golongan usahawan dan peniaga kecil agar mereka dapat berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.

Ini menerusi Program Peningkatan Pendapatan dengan sebanyak 75 usahawan di Perlis menerima bantuan peralatan memulakan perniagaan bernilai RM700,000.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Aktiviti KEMAS Negeri Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman, buat permulaan seramai 75 usahawan khususnya dalam kalangan asnaf serta kurang berkemampuan menerima bantuan peralatan masing-masing bernilai tidak lebih RM10,000 mengikut jenis perniagaan yang akan diusahakan.

Sepanjang tahun ini, dijangka lebih 200 usahawan baharu di Perlis akan merebut peluang disediakan KKDW untuk memohon bantuan peralatan bawah Program Peningkatan Pendapatan melibatkan pelbagai kaum dan pihak KEMAS akan memastikan setiap permohonan diberi perhatian.

"Saya sudah mohon supaya diberi peluang kepada negeri Perlis mendapat lebih peruntukan barangan atau program Program Peningkatan Pendapatan, ini kerana ramai dalam kalangan rakyat di dalam negeri Perlis menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan. Dengan bantuan seumpama ini barangan perniagaan sekurang-kurangnya dapat meringankan kos untuk memulakan perniagaan," kata Rozabil.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Penyerahan Barangan Perniagaan Menerusi Program Peningkatan Pendapatan KKDW di Arau yang majoritinya dalam kalangan usahawan wanita.

"Jadi kita cari wanita-wanita ini yang dah tentunya mereka daripada dalam kalangan B40 yang kurang berkemampuan ini kita hendak membawa mereka untuk buat satu kerja yang boleh maju ke hadapan bukan di takuk yang sama. Tetapi dengan adanya peluang hari ini yang daripada KKDW beri kepada kita, menteri bagi peluang kepada kita negeri Perlis dengan satu sumber yang sangat besar pada hari ini lebih kurang 75 dan majoritinya wanita," kata Ketua Wanita UMNO Perlis, Rozieana Ahmad.

Sumbangan berkenaan terdiri daripada pelbagai barangan dan peralatan perniagaan dari pelbagai sektor seperti pembuatan, makanan, baik pulih kenderaan, salun rambut dan kecantikan dan lain-lain.

TETITIA YUSOFF