720 saman dikeluarkan ke atas pelbagai kenderaan di ibu negara

Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa

KUALA LUMPUR, 15 Februari – Sebanyak 720 saman dikeluarkan menerusi pelaksanaan Op Selamat 25 pada hari pertama yang bermula hari ini ke atas pelbagai kenderaan di sekitar pusat bandar raya.

RINGKASAN BERITA AI
  • 720 saman dikeluarkan pada hari pertama Op Selamat 25 di sekitar pusat bandar raya.
  • Operasi dua fasa melibatkan 315 pegawai dan 85 anggota serta agensi berkaitan.
  • 40 kenderaan disita kerana pengubahsuaian ekzos bising dan beberapa nombor plat dipinda.
  • Op berjalan enam hari, memantau 407 hotspot dan 76 blackspot di seluruh negara.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi itu dilaksanakan berikutan peningkatan jumlah kenderaan di jalan raya serta bagi mengurangkan risiko kemalangan, khususnya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baharu Cina.

“Empat individu dikesan terlibat dengan dadah masing-masing tiga melibatkan ganja dan syabu. Selain itu terdapat juga kesalahan yang dikesan apabila ada pengguna meminda nombor plat kenderaan.

“Kira-kira 40 buah kenderaan telah disita kerana melakukan pengubahsuaian ekzos kerana menghasilkan bunyi terlalu bising,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Op Selamat 25 di ibu negara.

Operasi dua fasa berkenaan melibatkan kekuatan seramai 315 pegawai dan 85 anggota merangkumi JSPT Kuala Lumpur dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Pihak polis turut mengesan satu cubaan melarikan diri melibatkan sebuah motosikal yang merempuh kenderaan polis sebelum penunggangnya meloloskan diri namun motosikal berkenaan telah disita dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengesan pemiliknya.

Op Selamat 25 yang dilaksanakan enam hari bermula 15 hingga 20 Februari ini turut melibatkan pemantauan di 407 lokasi hotspot dan 76 lokasi blackspot di jalan-jalan Persekutuan, negeri dan bandaran di seluruh negara.

Lokasi hotspot adalah kawasan yang kerap berlaku kesesakan lalu lintas manakala blackspot adalah lokasi yang sering berlaku kemalangan.