
KUALA NERUS, 13 April – 72 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di Terengganu akan terus diperkasa bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh oleh komuniti, termasuk di luar kawasan liputan sedia ada.
- Perkukuhan NADI bagi memastikan manfaat digital sampai ke komuniti dan diperluas ke kawasan sekitar.
- Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat untuk memperkuat pengurusan serta koordinasi bersama Pengurus NADI.
- Tumpuan kepada keselamatan digital: kesedaran penipuan dalam talian, larangan akaun bawah 16, dan kerjasama Jabatan Penerangan.
Usaha itu turut diperkukuhkan melalui pelantikan lapan Pengerusi Panel Penasihat NADI.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kesemua NADI yang beroperasi di setiap kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri berperanan sebagai hab penyebaran maklumat serta pemerkasaan digital komuniti.
Pelaksanaan itu merupakan kesinambungan kepada inisiatif yang sama di beberapa negeri lain iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah, dengan seramai 106 individu telah dilantik.
Di Terengganu, pelantikan itu diharap dapat dimanfaatkan sepenuhnya bukan sahaja oleh komuniti berhampiran, malah turut diperluaskan ke kawasan sekitar.
“Pengerusi Panel Penasihat bekerjasama dengan Pengurus NADI untuk membawa perkhidmatan NADI ke luar kawasan yang biasa disantuni, bagi meningkatkan kesedaran umum tentang bahaya penipuan dalam talian di bawah Kempen Internet Selamat.
“Inisiatif ini juga bertujuan memastikan kanak-kanak bawah 16 tahun tidak membuka akaun media sosial, memandangkan terdapat pelbagai kandungan dan budaya yang tidak sesuai untuk mereka yang masih dalam proses pembesaran.
“Sehubungan itu, nasihat serta tindakan kerajaan adalah bagi memastikan anak-anak sentiasa selamat ketika menggunakan platform digital dan internet,” jelas beliau pada Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat NADI di Kuala Nerus.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa agar pengurusan NADI bekerjasama rapat dengan Jabatan Penerangan Malaysia bagi menyampaikan maklumat yang tepat dan mudah difahami kepada masyarakat.