700 pek bubur pulut hitam diagih kepada waris, pesakit HTF

Foto RTM

KANGAR, 17 Mac – Sebanyak 700 pek bubur pulut hitam diagihkan kepada waris dan pesakit yang mendapatkan rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) bersempena Ramadan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahli Lembaga Pelawat HTF menjalankan Program Kongsi Rezeki Ramadan bersama jawatankuasa dan pengurusan hospital setiap tahun.
  • Program termasuk lawatan kepada pesakit dan waris untuk mengeratkan silaturahim serta memantau perkembangan penerima rawatan.
  • Pemilihan bubur pulut hitam dipilih sebagai alternatif unik kepada bubur lambuk dalam inisiatif CSR.

Inisiatif itu digerakkan Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Fauziah menerusi Program Kongsi Rezeki Ramadan.

Menurut Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Fauziah, Yaakub Abu Seman, saban tahun pihaknya bersama ahli jawatankuasa serta pengurusan hospital melaksanakan Program Kongsi Rezeki khususnya ketika Ramadan.

Menerusi program berkenan, Ahli Lembaga Pelawat turut berpeluang melawat pesakit yang menerima rawatan serta waris serta beramah mesra bagi mengeratkan hubungan silaturahim dan mendapatkan perkembangan terkini penerima rawatan.

“Pemilihan bubur pulut hitam yang menjadi menu popular dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ini dilihat sebagai alternatif unik kepada bubur lambuk yang menjadi kelaziman setiap kali Ramadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengetuai Ahli Lembaga Pelawat melawat dan beramah mesra bersama waris dan pesakit beserta penyampaian 700 pek bubur pulut hitam kepada semua penerima.

Turut serta, Timbalan Pengarah Pengurusan Hospital Tuanku Fauziah, Mohd Abdul Rahman Ismail beserta Ahli Lembaga Pelawat Hospital Tuanku Fauziah.