KUALA LUMPUR, 27 Julai- Kira-kira 70 peratus melibatkan 1,241 tempat kerja menerusi Operasi SPARK (Sebaran Perundangan AKKP Revolusi KKP Negara) serentak di seluruh negara memberikan reaksi positif.
Reaksi berkenaan mengenai pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP)(Pindaan) 2022 serta Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 yang berkuatkuasa pada 1 Jun lepas.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Ir. Mohd Hatta Zakaria berkata pelaksanaan operasi itu bermula 12 Jun hingga 27 Jun itu adalah untuk mengetahui keberkesanan strategi hebahan JKKP berkaitan perundangan baharu KKP negara.
"Kita masih membuat hebahan supaya pihak majikan memahami kehendak dalam pindaan tersebut dan sekiranya ada kemalangan maut ataupun kemalangan yang melibatkan kehilangan anggota kekal kita akan menggunakan peruntukan-peruntukan dalam pindaan tersebut.
"Kita pun ada ejen-ejen, kita telah melatih lebih kurang tiga pegawai kita dan setiap negeri," katanya kepada pemberita selepas menjadi tetamu program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.
Pindaan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 serta Akta Kilang dan Jentera (Pemansuhan) 2022 akan dikenakan penalti maksimum RM500,000 berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Ia menyaksikan peningkatan penalti 10 kali ganda berbanding sebelum ini iaitu RM50,000.