GEORGE TOWN, 15 Jun - Kerajaan negeri Pulau Pinang menggesa kesemua pemilik petak strata di negeri itu untuk membuat bayaran tunggakan cukai petak dengan segera bagi mengelakkan tindakan rampasan di bawah seksyen 23H Akta Hakmilik Strata 1985 diambil.
Menerusi hantaran di Facebook, Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow memetik laporan yang dikeluarkan oleh Pengarah Tanah dan Galian, Dr Faisal Kamarudin yang memaklumkan, setakat 1 Jun lalu terdapat lebih 70,000 pemilik petak strata mempunyai tunggakan bayaran cukai yang tinggi.
"Jumlah keseluruhan tunggakan cukai petak setakat ini ialah RM12.5 juta dengan Daerah Timur Laut mencatatkan tunggakan tertinggi melibatkan 32,000 akaun cukai petak strata," katanya.
Tambah beliau, majoriti tunggakan ini telah bermula sejak tahun 2019 iaitu tarikh permulaan bayaran cukai petak diperkenalkan kepada skim-skim pembangunan berstrata di Pulau Pinang.
"Sekiranya pemilik-pemilik petak strata berdaftar masih tidak membuat bayaran tunggakan dengan segera, Notis Tuntutan Tunggakan Cukai Petak melalui Borang 11 Akta Hakmilik Strata 1985 akan dikeluarkan kepada pemilik terlibat," ujar beliau.
Tegasnya, jika pemilik masih tidak melunaskan bayaran sepenuhnya setelah tiga bulan notis tuntutan dikeluarkan, tindakan perampasan akan dilaksana oleh Pentadbir Tanah, seterusnya petak strata tersebut akan dikembalikan menjadi milik Pihak Berkuasa Negeri.
"Pemilik petak boleh berhubung terus dengan Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang (PTG) atau semua Pejabat Daerah dan Tanah jika ingin membuat semakan atau sebarang usul lanjut," beliau berkata.
Sebelum ini, bagi menggalakkan pemilik melangsaikan tunggakan, kerajaan negeri telah dua kali membuat tawaran pengecualian bayaran tunggakan denda pada Januari sehingga Mei.
Pengecualian 100 peratus diberikan kepada semua pemilik pada 2 Januari sehingga 28 Februari 2025, manakala pada 1 Mac sehingga 31 Mei, pengurangan 50 peratus telah diberikan.