PUTRAJAYA, 5 Februari - Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerima sejumlah 7,500 permohonan pekerja warga asing dalam sektor perladangan secara pengecualian khas sejak 28 Januari sehingga semalam.
Menter Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata terdapat juga permohonan yang tidak dapat dipertimbangkan kerana permohonan dibuat oleh majikan yang tidak layak menggajikan pekerja warga asing iaitu syarikat koperasi dan syarikat penyumberan luar.
"Saya juga ingin mengingatkan semua majikan bahawa semua permohonan perlulah diisi sendiri oleh majikan dan tidak menggunakan khidmat mana-mana agensi pekerjaan swasta.
"Perkhidmatan agensi pekerjaan swasta hanyalah sebagai pemudah cara dan tidak boleh membuat permohonan penggajian pekerja warga asing bagi pihak majikan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, KSM turut menerima permohonan daripada majikan dalam sektor lain bermula 15 Februari ini.