GEORGE TOWN, 25 Ogos- Seramai 7,000 pelajar dari 66 buah sekolah dan institusi pendidikan di Pulau Pinang, menyertai program Hari Pembersihan Dunia 2024 Peringkat Negeri.
Program tersebut melibatkan kerja-kerja pembersihan di 36 lokasi berbeza, termasuk jalan raya, pantai, sungai dan sekitar kawasan sekolah.
Pengerusi Persatuan Pendidik Lestari Hijau Pulau Pinang, Khou Jerome berkata program itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar serta menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih, hijau dan sihat.
"Kami rancang bagaimana untuk memperkasa sekolah-sekolah untuk dengan menganjurkan aktiviti pembersihan."
"Bagaimana kita boleh membantu sekolah-sekolah ini. Jadi, ini kita boleh adakan sebagai satu amalan dan budaya untuk semua murid. Contohnya, mempelajari amalan kitar semula dan banyak lagi," kata Khou kepada pemberita pada Sabtu.
Program yang dimulakan sejak tahun 2022 itu mendapat kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, yang turut melepaskan kira-kira 200 pelajar untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan di Padang Kota Lama.