fb fb fb fb fb

6G jadi fokus di Korea selepas pencapaian liputan jaringan 5G

Foto hiasan

SEOUL, 16 September - Teknologi komunikasi generasi keenam atau 6G, kini menjadi tumpuan utama dalam pembangunan rangkaian global termasuk Korea.

Ketua Pengarah Pusat Penilaian Pematuhan Komunikasi, agensi penyelidikan Radio Kebangsaan di bawah Kementerian Sains dan ICT Korea, Chang Yong Son berkata, perkembangan itu mencerminkan hala tuju dunia telekomunikasi yang kian berubah.

"Sudah tiba masanya masyarakat global termasuk Korea memberi perhatian serius untuk melabur dalam pembangunan sumber manusia, khususnya bagi memahami bagaimana isu teknikal atau dasar berkaitan 6G dapat dirangka.

"Saya berpendapat, inilah masa yang tepat untuk semua agensi kerajaan yang mempunyai kepakaran berganding bahu membangunkan agenda 6G, memandangkan ada negara yang sudah pun mencapai liputan menyeluruh rangkaian 5G," katanya.

Justeru, katanya langkah ini penting untuk memacu pembangunan seterusnya dalam kesalinghubungan digital untuk masa depan.

Korea Selatan telah mengumumkan pelan pelaburan besar dalam penyelidikan dan pembangunan 6G, manakala Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) telah memperincikan rangka kerja 6G yang dijangka mencapai standard antarabangsa pada 2030.

Menurut Kementerian Sains dan ICT Korea, lebih daripada AS$324.5 juta telah diperuntukkan untuk projek penyelidikan dan pembangunan 6G yang merangkumi jaringan tanpa wayar, infrastruktur utama mudah alih serta penyelarasan piawaian teknologi 6G.

Kerajaan Korea juga merancang untuk mempamerkan hasil pertengahan pembangunan teknologi 6G sekitar tahun 2026, sebagai persiapan bagi menetap standard antarabangsa.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI