PUTRAJAYA, 4 Mac- Seramai 66 kanak-kanak Palestin berumur 4 hingga 19 tahun yang sebelum ini menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan diberi peluang untuk meneruskan pembelajaran di Malaysia.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) bersama Spectrum International School melalui program 'Back To School' Anak-anak Palestin menyediakan pelbagai bentuk bantuan pendidikan.
Ia termasuk tajaan yuran pengajian, bantuan pengangkutan, makanan dan kelengkapan persekolahan kepada kanak-kanak tersebut.
"Kita mengharapkan dengan kerjasama antara JAKIM, MAIWP, Spectrum International School dan badan bukan kerajaan (NGO) dapat menyediakan pendidikan yang baik yang berkualiti kepada anak-anak Palestin.
"Kita ingin pastikan supaya anak-anak Palestin untuk menyediakan silibus dan mengajar mengikut tahap masing-masing. Ini sementara sebelum mereka pulang ke Palestin," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program ‘Back To School’ Anak Anak Palestin di Spectrum International School Putrajaya di sini.
Sementara itu seramai 127 keluarga daripada kalangan pelajar ini akan ditempatkan secara bersama di sebuah asrama milik MAIWP di Setapak, Kuala Lumpur untuk memudahkan bantuan pengangkutan ke sekolah.
Pada peringkat awal kelas pengajian akan berlangsung dari pukul 11.00 pagi hingga 1.00 petang dan yuran pengajian ditanggung sepenuhnya Spectrum International School.
Manakala, MAIWP menanggung perbelanjaan bantuan pengangkutan selama setahun sebelum mereka pulang ke Palestin.