fb fb fb fb fb

652 kemalangan kenderaan berat direkodkan tiga bulan pertama tahun ini

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 24 Jun- Sebanyak 652 kemalangan melibatkan kenderaan berat termasuk lori kontena, lori kecil dan bas ekspres direkodkan pada tiga bulan pertama tahun ini.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah berkata, jumlah itu melibatkan sebanyak 287 kes maut, 95 kes cedera parah dan 270 kes cedera ringan.

"Salah satu tindakan utama yang dilaksanakan bagi menangani isu ini adalah dengan menggiatkan aktiviti-aktiviti penguatkuasaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi kenderaan berat.

"Selain mengoperasikan 53 buah stesen penguatkuasa atau stesen timbang di seluruh negara, pihak JPJ juga turut dibekalkan dengan 75 unit alat timbang mudah alih bagi tujuan penguatkuasaan tersebut", katanya.

Dalam pada itu, sebanyak 45,015 notis saman melibatkan kesalahan muatan bahaya dan lebih muatan dikeluarkan pada tahun lalu, manakala 9,214 notis saman bermula Januari hingga April lalu.

Beliau memaklumkan ketika menjawab soalan asal yang dikemukakan wakil Ledang, Tuan Syed Ibrahim Syed Noh mengenai statistik kemalangan melibatkan kenderaan berat pada suku pertama tahun ini serta tindakan bagi mengurangkan kemalangan. 

Hasbi turut memaklumkan Kementerian Pengangkutan bersama Kementerian Kerja Raya dalam proses akhir membangunkan sistem Timbangan Berkelajuan Tinggi Dalam Pergerakan atau 'High Speed-Weigh in Motion' (HS-WIM).

Katanya penggunaan sistem ini membolehkan aktiviti penguatkuasaan kenderaan berat dilaksanakan secara masa sebenar tanpa memerlukan kenderaan tersebut perlu berhenti untuk ditimbang.

"Sistem HS-WIM ini dijangka dapat memperluaskan capaian, meningkatkan pematuhan dan memperkukuhkan lagi keberkesanan penguatkuasaan ke atas peraturan had muatan kenderaan motor serta menjadi penyelesaian jangka masa panjang dalam menangani isu had muatan kenderaan berat", katanya pada sesi Dewan Rakyat.

ROSLINA BINTI DIN