fb fb fb fb fb

65 murid keracunan makanan di Sungai Petani

Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani Kedah

SUNGAI PETANI, 20 Mei- Seramai 65 murid Sekolah Kebangsaan Bandar Puteri Jaya dekat sini dipercayai mengalami keracunan makanan selepas makan di kantin sekolah pagi tadi.

Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Zubir Othman berkata kesemua murid tahun empat hingga enam itu dikatakan mengalami gejala sakit perut, muntah dan cirit-birit selepas makan kuetiau sup di kantin sekolah.

"Murid terbabit dikatakan makan kuetiau sup pada waktu rehat dan mula menunjukkan simptom keracunan kira-kira jam 12 tengah hari tadi. Pihak sekolah kemudiannya menghubungi talian kecemasan MERS 999," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Menurutnya, tujuh orang murid dibawa ke Zon Kuning Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

"Pihak sekolah telah menyediakan kelas khas untuk dijadikan lokasi rawatan awal oleh petugas hospital dan staf Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda.

"Kantin sekolah telah diarahkan tutup sementara selama tiga hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut," katanya.- BERNAMA

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE