fb fb fb fb fb

638 pegawai dan pelajar politeknik sertai Eksesais Serangan Akhir

FOTO ISTANA ARAU

CHUPING, 10 Julai- Seramai 29 orang pegawai dan 609 pelajar dari 16 buah politeknik seluruh negara terlibat dalam Eksesais Serangan Akhir Eksesais Northern Lions tahun 2024 yang berlangsung di Ladang Kenaf Chuping Valley, Rimba Mas, Chuping.

Eksesais ini merupakan latihan serangan dalam situasi konflik peperangan yang diadakan bersempena Majlis Perasmian Penutupan Malaysian Polytechnic Territorial Army Annual Camp (MALPTAAC) Siri 15/2024 pada tahun ini yang berlangsung di Perlis.

Antara pasukan yang turut sama terlibat bagi menjayakan eksesais kali ini termasuk Rejimen 504 Askar Wataniah, 6 Skuadran Rejimen Askar Jurutera DiRaja, Rejimen Ke-3 Artileri Diraja, dan Kompeni Alpha 19 Rejimen Askar Melayu DiRaja.

Meriam 105 MM Pack Howitzer dan Pl Mortar menggunakan Mortar 81MM buatan Itali yang berkeupayaan untuk menembak sejauh 10 kilometer dengan menggunakan pelbagai amunisi merupakan antara penggunaan senjata yang mendapat perhatian sewaktu eksesais tersebut sedang dijalankan.

Meriam berkenaan juga dikendalikan oleh enam orang krew dan mampu menembak pada kadar lima butir seminit.

Pemangku Raja Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan eksesais tersebut, diiringi Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahman A Wahab, Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Zaini Hashim dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Politeknik, Dr Mohd Zahari Ismail.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE