(Nasaruddin (kiri) berkata Anugerah Kecemerlangan Pelajar ini merupakan insiatif Lembaga
Pembangunan Langkawi (LADA) dalam menghargai pencapai cemerlang anak-anak Langkawi)
LANGKAWI, 31 Oktober- Seramai 63 orang pelajar cemerlang terdiri daripada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Langkawi diraikan dalam satu majlis anugerah khas malam tadi.
Majlis yang dikenali sebagai Anugerah KecemerlanganPelajar (A-KAWI) ini merupakan insiatif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dalam menghargai pencapai cemerlang anak-anak Langkawi.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LADA, Nasaruddin Abdul Muttalib, program ini merupakan antara usaha LADA menabur bakti kepada komuniti Langkawi melalui teras strategik keempat iaitu pembangunan komuniti progresif dan dinamik seperti yang terkandung dalam Pelan Strategik LADA 2022– 2026.
Penganjuran kali ke-9 ini melibatkan lapan buah sekolah menengah dan mendapat kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Langkawi serta agensi bawah LADA iaitu Panorama Langkawi Sdn Bhd, Langsura Geopark Sdn Bhd dan Langkawi Port Sdn Bhd.
Antara anugerah baharu yang diperkenalkan ialah Anugerah Sekolah Menengah Terbaik SPM yang dirangkul oleh Maktab Mahmud Langkawi, Sekolah Menengah Terbaik STPM (Sekolah Menengah Tunku Putera) dan Lonjakan Perdana Sekolah Menengah Terbaik SPM (Sekolah Menengah Kebangsaan Langkawi).
(63 pelajar cemerlang SPM, STPM Langkawi dirai dalam majlis anugerah khas LADA)
"Malam ini memberi anugerah kepada murid-murid dan sekolah cemerlang saya rasa wajar kita memberi anugerah kepada guru-guru yang menunjukkan kecemerlangan dalam membimbing murid dalam mencapai keputusan baik," kata Nasaruddin kepada media di sini.
Anugerah Pelajar Terbaik keseluruhan dianugerahkan kepada adik Rukiah Abdul Rahmad dari SMK Tunku Putera bagi peperiksaan STPM dan bagi peperiksaan SPM pula disandang oleh adik Dayana Najdah Fauzi dari Maktab Mahmud Langkawi.