fb fb fb fb fb

62 unit PPRS Bina Baharu diluluskan di N. Sembilan

Datuk Seri Jalaludin Alias

SEREMBAN, 26 Disember- Sebanyak 62 unit Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) Bina Baharu diluluskan di negeri itu memenuhi syarat utama iaitu berdaftar dengan sistem e-Kasih dan diperakukan serta disahkan layak oleh Mesyuarat Focus Group Pembasmian Kemiskinan Peringkat Daerah (FGD).

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaludin Alias berkata, sejumlah RM4.8 juta diperuntukkan bawah PPRS Bina Baharu di Negeri Sembilan bagi tahun 2024.

"PPRS merupakan penjenamaan semula dengan keluasan lebih besar sebanyak 680 kaki per segi dan mempunyai reka bentuk lebih menarik.

"Di Negeri Sembilan berbaki kira-kira 200 hingga 500 rumah lagi diperlukan untuk PPRS. Ia tidak termasuk masyarakat orang asli yang kita jangka iaitu 127. Jadi saya harap ia dapat diselesaikan tempoh penggal ini dalam 80 ke 70 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Penerimaan Program Perumahan Rakyat Sejahtera Bina Baharu Bagi Negeri Sembilan 2024 di sini.

Dalam pada itu, sebanyak 30 unit rumah bawah program berkenaan lulus menerima peruntukan sebanyak RM20,000 untuk kerja-kerja baik pulih.

Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS) merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar yang menyediakan bantuan bina baharu atau pembaikan rumah kepada golongan miskin dan miskin tegar.

Ia bagi memastikan golongan itu memiliki kediaman selamat dan selesa serta memastikan kumpulan sasar berkenaan dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI