
KUALA LANGAT, 11 April – Kerajaan Selangor terus memperkukuh pasaran buruh negeri menerusi penganjuran sembilan siri Karnival Jelajah JobCare 2026 di seluruh daerah di negeri itu tahun ini dengan Kuala Langat sebagai lokasi pembuka tirai.
- Program tahunan memberi ruang rakyat menilai semula kerjaya dan meneroka peluang kerja berbeza mengikut kelayakan dan keperluan semasa.
- Faktor lokasi penting; peluang pekerjaan berhampiran mengurangkan masa perjalanan dan meningkatkan pilihan pekerjaan lebih sesuai untuk warga bekerja.
- Sebanyak 30 majikan menawarkan 4,348 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor, dengan gaji kompetitif sehingga RM12,000 bergantung jawatan.
- Kerajaan negeri sediakan laluan peningkatan kemahiran melalui institusi latihan; siri seterusnya di Petaling Jaya untuk memperluas capaian pekerjaan.
Exco Sumber Manusia Selangor V Papparaidu berkata, inisiatif itu dilaksanakan secara konsisten setiap tahun bagi memastikan rakyat mendapatkan pekerjaan lebih sesuai dengan kelayakan dan keperluan semasa.
“Kita mahu rakyat melihat bahawa program ini memberi ruang kepada mereka untuk menilai semula kerjaya, termasuk peluang bekerja dalam bidang berbeza daripada kelulusan yang dimiliki.
“Ada dalam kalangan mereka mempunyai latar belakang seperti kejuruteraan awam atau bioperubatan, namun bekerja dalam sektor lain. Melalui karnival ini, mereka boleh meneroka peluang baharu yang mungkin menawarkan gaji, pengalaman dan lokasi kerja yang lebih sesuai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelancaran Karnival Jelajah JobCare 2026 di sini hari ini.
Faktor lokasi turut memainkan peranan penting dalam pemilihan pekerjaan, khususnya bagi mereka yang ingin bekerja lebih dekat dengan tempat tinggal.
“Contohnya, jika sebelum ini seseorang bekerja jauh dari tempat tinggal seperti di Petaling Jaya, tetapi terdapat peluang dengan tawaran setara di kawasan berhampiran seperti Telok Panglima Garang, sudah tentu ia menjadi pilihan yang lebih baik,” katanya lagi.
Sebanyak 30 majikan mengambil bahagian dengan 4,348 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor ditawarkan dalam penganjuran kali ini dengan menawarkan gaji kompetitif, mencecah sehingga RM12,000 bergantung kepada jawatan khususnya di peringkat pengurusan.
Kerajaan negeri turut menyediakan laluan peningkatan kemahiran melalui institusi latihan bagi memastikan tenaga kerja kekal relevan dengan keperluan industri semasa.
Siri kedua Karnival Jelajah JobCare 2026 dijadualkan berlangsung di Petaling Jaya, dengan sasaran memperluas capaian peluang pekerjaan serta membantu meningkatkan pendapatan rakyat dan mengurangkan kadar kemiskinan.
Program karnival kerjaya itu merupakan antara usaha kerajaan negeri dalam membantu rakyat mendapatkan pekerjaan sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat khususnya di Selangor.