
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Sebanyak 61 koperasi di kawasan luar bandar di Sarawak dibatalkan pendaftarannya bagi tempoh 2023 hingga 2025 berikutan kegagalan untuk beroperasi secara aktif dan berkesan.
- Punca pembatalan: kegagalan memenuhi keperluan komuniti, kurang kerjasama anggota, kekurangan pengetahuan keusahawanan dan tadbir urus lemah.
- Aktiviti koperasi tidak konsisten akibat modal syer tidak mencukupi menyebabkan operasi tidak berkesan.
- Langkah pemulihan termasuk khidmat nasihat, bimbingan tadbir urus, pematuhan undang-undang dan program pembangunan kapasiti oleh IKMa.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin antara cabarannya adalah kegagalan memenuhi keperluan bersama dalam komuniti, selain kurangnya kerjasama dan penglibatan aktif dalam kalangan anggota koperasi.
”Kekurangan pengetahuan dalam aspek keusahawanan dan perniagaan dalam kalangan Anggota Lembaga Koperasi (ALK), kelemahan tadbir urus dalam kalangan ALK yang kurang pendedahan kepada pengurusan bersistematik, aktiviti koperasi yang tidak konsisten akibat ketiadaan modal syer mencukupi”, katanya.
Beliau menjawab soalan Senator Tuan Michael Mujah Lihan pada persidangan Dewan Negara di Parlimen.
Justeru , beberapa langkah telah diambil bagi mengaktifkan semula koperasi yang menghadapi masalah.
Ini termasuk menyediakan khidmat nasihat dan bimbingan bagi memperkukuh tadbir urus koperasi serta memastikan pematuhan kepada keperluan perundangan.
Institut Koperasi Malaysia (IKMa) turut melaksanakan pelbagai program pemulihan dan pengukuhan melalui inisiatif pembangunan kapasiti bagi meningkatkan keupayaan pengurusan koperasi.