fb fb fb fb fb

60 PoP di Sabah, 6,000 premis nikmati jalur lebar berkelajuan tinggi

FOTO FB Fahmi Fadzil

KOTA KINABALU, 29 Oktober- Sebanyak 60 daripada 67 Projek Point of Presence (PoP) yang dirancang dalam Fasa 1 di Sabah berjaya disiapkan setakat ini, menyaksikan sekurang-kurangnya 6,000 premis menerima perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, daripada jumlah itu, satu PoP di kawasan perindustrian telah disiapkan iaitu di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Kota Kinabalu Zon Industri 7.

Secara keseluruhan kawasan KKIP akan melibatkan penyediaan PoP di empat lokasi dengan kira-kira 400 premis iaitu 220 bagi industri atau komersial dan 180 bagi premis kediaman.

Bagi kawasan Parlimen Sepanggar, sebanyak tiga PoP telah disiapkan dengan sekitar 300 premis sedia untuk dilanggan.

Pelaksanaan Projek PoP Fasa 2 di Sabah pula akan melibatkan 636 kawasan.

Fahmi berkata, sokongan infrastruktur jalur lebar gentian optik berkelajuan tinggi dan stabil bakal menyediakan kebolehcapaian pendigitalan yang cekap, serta menggalakkan pengembangan aktiviti industri.

Ia mampu meningkatkan pelaburan khususnya di kawasan-kawasan industri baharu, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Inisiatif itu juga akan memberi peluang kepada peningkatan ekonomi berasaskan ekonomi digital di luar bandar.

Fahmi berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek PoP Zon Industri di Kampung Lapasan, Telipok di sini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA