fb fb fb fb fb

60 pelajar tahfiz terpilih ikuti program TVET GiatMARA Arau

Harun Radzi bersama pelajar dan guru pembimbing pada Majlis Penutupan Latihan Jangka Pendek Kursus Pendawaian Elektrik dan Automotif Bagi Pelajar Tahfiz di GiatMARA Arau

ARAU, 9 Julai- Seramai 60 pelajar dari dua pusat pengajian tahfiz iaitu Maahad Tahfiz Al Quran Ar Raudhah dan Madrasah Miftahul Hidayah terpilih mengikut Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di GiatMARA Arau.

Program melibatkan kursus Pendawaian Elektrik dan Automotif berkenaan sebagai satu inisiatif membantu pelajar tahfiz userta meningkatkan potensi diri dalam masyarakat.

Menurut Pengarah GiatMARA Negeri, Harun Radzi, setiap pelajar berkenaan mengikuti modul asas pendawaian dan pemasangan litar eletrik serta asas pembaikan kenderaan yang disediakan GiatMARA Arau dengan latihan dikendalikan tenaga pengajar berpengalaman berkemahiran tinggi.

Beliau berkata, GiatMARA turut merancang untuk memperluaskan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz dengan memperbanyakkan kursus jangka pendek bersifat pembelajaran sepanjang hayat bagi memenuhi keperluan pasaran kerja beberapa sektor teknikal negara selari dengan hasrat digariskan pengurusan MARA.

Selain menumpukan kepada bidang akademik, pelajar tahfiz katanya turut mempunyai kemahiran lain yang mungkin boleh dimanfaatkan selepas keluar dari institusi itu dan pada masa yang sama menarik minat mereka untuk mempelajari lebih mendalam mengenai kursus yang diajar dan boleh mendaftar memasuki GiatMARA suatu hari nanti.

Beliau memaklumkannya pada Majlis Penutupan Latihan Jangka Pendek Kursus Pendawaian Elektrik dan Automotif Bagi Pelajar Tahfiz di GiatMARA Arau.

Berdasarkan data MARA, terdapat 558 pelajar kini mengikuti 67 program TVET Tahfiz yang dijalankan di GiatMara, Institut Kemahiran MARA (IKM), Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) dan UniKL di seluruh negara bagi peringkat sijil, Diploma serta Ijazah Sarjana Muda.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE