fb fb fb fb fb

6 EXCO Perlis angkat sumpah

(Barisan EXCO Perlis yang baharu bergambar bersama Raja Perlis dan Raja Muda Perlis
selepas majlis angkat sumpah di Istana Arau)

KANGAR, 25 November- Enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) di Istana Arau hari ini.

Majlis angkat sumpah membabitkan empat ADUN PAS dan dua BERSATU itu berlangsung di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dan turut disaksikan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di Bilik Hijau Istana Arau, di sini, selepas masing-masing menerima watikah pelantikan daripada baginda.

ADUN yang dilantik dua daripada Bersatu adalah Izizam Ibrahim (Titi Tinggi); Megat Hashirat Hassan (Pauh); manakala empat ADUN PAS iaitu Muhammad Azmir Azizan (Santan); Fakhrul Anwar Ismail (Bintong),  Wan Badariah Wan Saad (Mata Ayer) dan Razali Saad (Simpang Empat).

 

 
(Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli)

Menteri Besar Perlis yang juga ADUN Sanglang, Mohd Shukri Ramli menerajui portfolio Penatdbiran dan Kewangan; Pelaburan dan Perdagangan Antarabangsa; Perancangan Ekonomi dan Pembangunan Industri; Hal Ehwal Tanah dan Sumber Asli; Keselamatan dan Ketenteraman Awam serta Pembangunan Pusat Pertumbuhan Baru.

"Seperti mana yang disarankan oleh DYMM Tuanku bahawa wakil rakyat itu dia tiada masa bekerja, 24 jam bekerja. Jadi kita ingat sebagai kerajaan yang baru, untuk negeri Perlis ini prestasi semua wakil rakyat akan dinilai oleh rakyat dan apa sumbangan kami kepada rakyat akan dinilai. Jadi kami amat mengalu-alukan buah fikiran dan juga sokongan daripada semua," katanya kepada media selepas menghadiri Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis yang berlangsung di Istana Arau.

Tempoh memegang jawatan bagi setiap EXCO ialah mulai 25 November 2022 hingga 24 November 2023, dimana penggal perkhidmatan setiap EXCO akan disambung semula apabila genap setahun berkhidmat.

Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan negeri di Perlis berikutan kejayaan gabungan itu memenangi 14 daripada 15 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)  dipertandingkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Sabtu lalu dan hanya Indera Kayangan dimenangi Pakatan Harapan menerusi Gan Ay Ling.

Kejayaan mengejutkan itu sekali gus menamatkan penguasaan Barisan Nasional (BN) di Perlis sejak 65 tahun lalu.

Media Baharu