KUALA LUMPUR, 17 April- Seramai 6,034 orang guru baharu Lantikan Secara Kontrak (COS) ditempatkan di sekolah-sekolah seluruh negara, bermula Isnin.
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 1,858 orang ditempatkan di sekolah menengah manakala 4,176 lagi, di sekolah rendah.
“Penempatan guru baharu COS dibuat berdasarkan kepada tiga prinsip asas iaitu kepentingan perkhidmatan, kekosongan perjawatan serta keperluan opsyen atau mata pelajaran semasa di sekolah.
“KPM ingin menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) atas lantikan guru baharu COS, bagi memenuhi keperluan semasa di sekolah-sekolah seluruh negara,” menurut kenyataan berkenaan.
KPM memaklumkan pihaknya dan SPP, akan terus bekerjasama erat bagi memastikan isu kekurangan guru dapat diatasi.
Kenyataan itu memaklumkan pelantikan guru baharu COS itu merupakan cerminan komitmen berterusan Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.