591 pelajar Terengganu raih semua A dalam SPM 2025

Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA)

KUALA NERUS, 31 Mac – Seramai 591 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Terengganu berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran sekali gus mencerminkan peningkatan pencapaian akademik negeri itu tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 25 calon memperoleh keputusan cemerlang semua A+ dalam keseluruhan mata pelajaran.
  • Gred purata negeri meningkat kepada 4.17, mengatasi gred purata kebangsaan 4.42.
  • Sebanyak 11,633 calon lulus semua mata pelajaran; kadar lulus 67.60%, peningkatan 1.19% berbanding tahun sebelumnya.
  • Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud dinobatkan sekolah terbaik Terengganu mengikut purata gred keseluruhan SPM 2025.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata, daripada jumlah tersebut 25 calon berjaya memperoleh keputusan cemerlang semua A+ dalam keseluruhan mata pelajaran yang diambil.

Pencapaian keseluruhan gred purata negeri itu mencatatkan peningkatan 4.17 mengatasi gred purata kebangsaan iaitu 4.42.

“Seramai 11,633 calon dengan gred purata 67.60 peratus berjaya lulus semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan SPM 2025 di Terengganu.

“Pencapaian ini menunjukkan peningkatan sebanyak 1.19 peratus berbanding tahun sebelummya iaitu 66.41 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Pengumuman Keputusan SPM 2025 yang berlangsung di Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA), di sini pagi tadi.

Sementara itu, 16,139 calon layak memperoleh sijil SPM, namun angka itu mencatatkan penurunan sebanyak 0.06 peratus berikutan peningkatan jumlah calon yang menduduki peperiksaan.

Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud turut menjadi sekolah terbaik di Terengganu secara purata gred keseluruhan bagi peperiksaan SPM 2025.