566 kes kebakaran terbuka di Perlis dalam 3 bulan

167 kes turut direkodkan melibatkan lain-lain kebakaran

KANGAR, 1 April – Sebanyak 733 kes kebakaran direkodkan di seluruh Perlis dari 1 Januari hingga 31 Mac tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 566 kes kebakaran terbuka direkodkan di seluruh Perlis.
  • Orang ramai diingatkan supaya tidak melakukan pembakaran terbuka dan berhati-hati bagi mengelakkan kebakaran.
  • Pegawai dan anggota lima balai bomba berada pada kesiapsiagaan tinggi serta melaksanakan pemantauan, rondaan, penguatkuasaan dan operasi pemadaman.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perlis, Penguasa Kanan Bomba 1, Wan Mohd Hamizi Wan Mohd Zin dalam satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah tersebut, 566 kes melibatkan kebakaran terbuka yang berlaku di seluruh negeri berkenaan.

167 lagi kes melibatkan kebakaran bangunan, kenderaan, hutan atau kebun, sampah serta lain-lain kebakaran.

Bagi menghadapi sebarang kemungkinan insiden kebakaran, pegawai dan anggota dari lima Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) di Perlis sentiasa berada dalam kesiapsiagaan tinggi, walaupun Perlis telah mula dibasahi hujan semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya peka dengan situasi semasa dan tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka, sama ada secara sengaja atau tidak terkawal, serta sentiasa berhati-hati dalam aktiviti harian yang boleh mencetuskan kebakaran.

Kerjasama masyarakat amat penting bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam keselamatan nyawa diri, keluarga dan masyarakat, serta memusnahkan harta benda.

JBPM Negeri Perlis giat melaksanakan pemantauan dan rondaan di kawasan yang menjadi titik panas kebakaran, selain melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan operasi pemadaman demi memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.