
BENTONG, 22 Januari– Kerajaan MADANI di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) telah meluluskan 563 projek berkepentingan rakyat bernilai RM32 bilion di Pahang, termasuk 34 projek bernilai RM1.66 bilion khusus untuk Bentong.
- Pelaksanaan projek jadi keutamaan, perlu segera dan memberi impak langsung kepada keluarga serta komuniti setempat.
- Semua peringkat pelaksanaan wajib memantau kemajuan projek secara dekat, terutama projek berkaitan pendidikan.
- Integriti tidak boleh dikompromi; dana adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan disalahguna.
- Bantuan segera diarahkan bagi keluarkan kira-kira 106 keluarga miskin tegar dari kategori itu dalam sebulan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah pelaburan besar itu bagaimanapun tidak membawa makna sekiranya pelaksanaan projek gagal menyentuh realiti kehidupan rakyat di peringkat akar umbi.
“Namun, angka ini tidak bermakna jika pelaksanaannya gagal menyentuh realiti hidup rakyat. Kerana itu keutamaan kita tahun ini adalah memastikan setiap projek dilaksanakan segera, berintegriti dan benar-benar memberi kesan kepada keluarga, peniaga kecil serta komuniti setempat.”
“Sebarang projek yang tertangguh akibat kelemahan pengurusan atau permasalahan kontraktor tidak boleh dibiarkan berlarutan hingga bertahun-tahun, kerana setiap kelewatan bererti rakyat terus dinafikan kemudahan dan perkhidmatan yang sepatutnya mereka nikmati,” kata beliau dalam satu hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat pembangunan daerah berkenaan bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail serta pimpinan Kerajaan Negeri dan daerah, hari ini.
Datuk Seri Anwar menegaskan bahawa semua peringkat pelaksanaan wajib memantau kemajuan projek secara dekat, khususnya melibatkan sektor pendidikan.
Katanya, antara perancangan tahun ini termasuk penambahan bilik darjah serta penambahbaikan keselesaan bilik guru menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, termasuk kemasukan prasekolah pada usia lima tahun dan Tahun Satu pada usia enam tahun secara sukarela.
“Kegagalan di peringkat pelaksanaan, termasuk projek bermasalah atau lewat disiapkan akan menjejaskan keselesaan pembelajaran dan masa depan anak-anak,” ujarnya.
Mengulas soal integriti, Perdana Menteri menegaskan tiada kompromi akan diberikan terhadap sebarang bentuk penyelewengan.
“Soal integriti juga tidak boleh dikompromi. Setiap wang yang disalurkan adalah amanah dan mesti sampai kepada rakyat, bukan mengalir ke poket mana-mana pihak. Kelonggaran kelulusan projek bukan ruang untuk disalah guna, tetapi ikhtiar mempercepat pelaksanaan agar manfaatnya segera dirasai oleh rakyat,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri turut dimaklumkan terdapat kira-kira 106 keluarga miskin tegar di Bentong ketika ini dan mengarahkan supaya bantuan disegerakan.
Ini bagi memastikan semua keluarga terlibat dikeluarkan daripada kategori miskin tegar dalam tempoh satu bulan.