fb fb fb fb fb

56 kawasan di Johor alami gangguan bekalan elektrik

JOHOR BAHRU, 5 Mac- Terdapat penambahan penutupan bekalan elektrik di Johor akibat hujan lebat dan banjir, setakat pukul 10.00 pagi tadi.

Perkara tersebut dimaklumkan TNB Careline menerusi notis di Facebook.

Penutupan bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu demi keselamatan pengguna.

56 kawasan terlibat membabitkan 32 di Batu Pahat; masing-masing enam di Segamat dan Mersing; lima di Kota Tinggi, tiga di Muar; serta masing-masing dua di Pontian dan Kluang.

"Usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan-kawasan terlibat dapat disalurkan secara berperingkat bergantung kepada akses dan keadaan setempat," menurut kenyataan itu.

(Penutupan bekalan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) itu demi keselamatan pengguna/FB TNB Careline)

Pengguna turut diingatkan tidak menghidupkan peralatan elektrik sekiranya dalam keadaan basah atau dilitupi air/kekotoran banjir.

"Jika banjir sudah surut tetapi masih belum menerima bekalan elektrik, besar kemungkinan pencawang elektrik yang menyalurkan bekalan elektrik ke premis masih belum benar-benar selamat untuk diaktifkan.

"Sentiasa waspada dengan hujan lebat dan keadaan berisiko banjir.

"Jauhi pepasangan elektrik yang terendam air banjir kerana dikhuatiri berlakunya kebocoran arus," tambah kenyataan itu.

Media Baharu