
LABUAN, 27 Februari – Sebanyak 501 premis makanan di tujuh lokasi Bazar Ramadan sekitar Labuan telah diperiksa Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Labuan sempena Ramadan tahun ini bagi memastikan tahap keselamatan dan kualiti makanan terjamin.
- 501 premis makanan di tujuh lokasi Bazar Ramadan diperiksa untuk memastikan keselamatan dan kualiti makanan terjamin.
- 19 sampel diambil untuk analisis — 14 mikrobiologi dan lima kimia dihantar ke Makmal Kesihatan Awam.
- Pemeriksaan termasuk kilang ais, AMB dan kilang mi; tiada Notis 32B dikeluarkan sepanjang pemeriksaan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Francis Paul berkata, sebanyak 19 sampel makanan telah diambil untuk analisis melibatkan 14 analisis mikrobiologi dan lima analisis kimia yang dihantar ke Makmal Kesihatan Awam.
Menurut beliau, pemantauan rantaian makanan turut dilaksanakan lebih awal sebelum Ramadan termasuk pemeriksaan terhadap sumber bahan mentah.
Sebanyak 10 kilang turut diperiksa melibatkan tiga kilang ais, lima kilang Air Minuman Berbungkus (AMB) serta dua kilang mi, dengan tiada Notis 32B dikeluarkan sepanjang pemeriksaan berkenaan.
Tindakan itu dilaksanakan selaras dengan Akta Makanan 1983 serta peraturan-peraturan di bawahnya menerusi Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan WP Labuan.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program CSR Agihan Bubur Lambuk bertemakan “Daripada Tangan Yang Bersih Dengan Hati Yang Ikhlas” yang diadakan dengan kerjasama empat hotel terkemuka di Labuan.
Program berkenaan turut menyaksikan pengagihan apron kepada pengendali makanan di bazar dengan mesej “Makanan Bersih dan Selamat Keutamaan Kami”.
Jabatan Kesihatan Labuan menegaskan komitmen berterusan dalam memastikan keselamatan serta kualiti makanan sentiasa terpelihara demi kesejahteraan masyarakat sepanjang Ramadan.