
TAIPING, 15 Februari – Kira-kira 5,000 penonton menghhadiri dan memeriahkan Konsert Hari Radio Sedunia 2026 yang berlangsung di Dataran Warisan Taiping, di sini malam tadi.
- Konsert tonjolkan tema evolusi radio daripada radio konvensional ke arah penggunaan kecerdasan buatan.
- Gabungan artis lama dan baharu hidupkan suasana serta tarik sambutan pelbagai generasi termasuk Gen Z.
- Persembahan dikendalikan DJ Zulrenova, Zoey Daud dan DJ Nen Tebabo menampilkan barisan nama popular.
- Turut hadir pegawai kanan RTM memberi sokongan rasmi kepada acara tersebut.
Ketua Bahagian Rancangan RTM Perak, Any Rozita Abdul Mutalib yang juga penerbit konsert berkenaan berkata, mesej evolusi radio dipamerkan menerusi penganjuran konsert tersebut, seiring perkembangan teknologi penyiaran.
“Untuk Hari Radio Sedunia tahun ini, sebenarnya kita mahu mengetengahkan tema evolusi radio, bermula daripada radio konvensional sehingga kini yang telah bergerak ke arah kecerdasan buatan (AI).
“Jadi, menerusi konsert ini, kita tampilkan gabungan generasi terdahulu dan generasi terkini. Sambutan yang diterima juga sangat meriah, sama ada daripada penyanyi lama mahupun penyanyi baharu.
“Kita dapat lihat semua turut menyanyikan lagu bersama-sama. Walaupun lagu lama, generasi Gen Z juga boleh menyanyikannya. Begitu juga lagu baharu, sambutannya tetap hangat termasuk dalam kalangan peminat yang lebih berusia,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.
Gabungan persembahan artis baharu dan lama di atas satu pentas sama menghidupkan suasana, sekali gus mencerminkan kepelbagaian dunia penyiaran radio.
Konsert yang dikemudi DJ Zulrenova, Zoey Daud dan DJ Nen Tebabo itu menampilkan Exists, Amir Ukays, Amelina, Ernie Zakri, Adira, Aweera, Nabila Razali dan Naki and No Casualties.
Konsert berkenaan turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Strategik) RTM Hamzah Ishak, Pengarah Program Radio RTM Saifuzzaman Yusop serta Pengarah RTM Perak Karim Sadiran.