fb fb fb fb fb

500 renjer komuniti akan ditambah kawal hutan negara

Nik Nazmi Nik Ahmad (kanan)

SHAH ALAM, 21 November- Seramai 500 renjer komuniti akan ditambah tahun depan bagi membantu mengawal aktiviti pencerobohan, sekali gus mengekalkan habitat semula jadi haiwan liar di negara ini.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, penambahan itu melibatkan peruntukan sebanyak RM60 juta.

Setakat ini, kerajaan telah melantik kira-kira 1,500 renjer yang mempunyai kepakaran termasuk untuk menjaga Hutan Simpan.

Daripada jumlah itu, lebih 600 renjer adalah dalam kalangan masyarakat Orang Asli, manakala selebihnya adalah veteran tentera dan polis yang telah diberikan latihan secukupnya.

"Kita tahu tekanan (ancaman) kepada hutan (dan) haiwan liar kita adalah sangat tinggi.

"Apa yang kita dah buat selama ini ada peningkatan daripada segi keberkesanan, tetapi semakin banyak juga konflik yang berlaku.

"Jadi dalam usaha kita nak hentikan perkara tersebut, kita kena menambah bilangan renjer yang berkepakaran dalam hutan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Serantau Forest Connectivity and Biodiversity Conservation di sini.

SITI AISHAH BINTI MD ISA