
ARAU, 16 Februari – Lebih 500 individu terdiri daripada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan keluarga kurang berkemampuan di Perlis menerima sumbangan wang tunai, limau serta makanan bersempena dengan sambutan Tahun Baharu Cina di negeri itu.
- Program Majlis Sumbangan Prihatin Tok Ben dan Datuk Kelvin dijalankan di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia.
- Sumbangan dinikmati semua kaum termasuk Melayu, India dan Siam sebagai simbol keprihatinan masyarakat majmuk.
- Seramai 35 sekolah menerima bola keranjang untuk menyokong aktiviti sukan dan kecergasan pelajar.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman berkata, selain masyarakat Tionghoa, manfaatnya turut dinikmati komuniti Melayu, India dan Siam sebagai simbol keprihatinan masyarakat majmuk khususnya di Perlis.
“Insya-Allah program ini akan dijadikan acara tahunan di negeri Perlis. Rakyat-rakyat memerlukan di negeri Perlis akan terus disantuni,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sumbangan Prihatin Tok Ben dan Datuk Kelvin sempena Tahun Baharu Cina 2026, berlangsung di Dewan Orang Ramai Kampung Pauh Setia, di sini.
Pada majlis sama kira-kira 35 sekolah rendah dan menengah, turut menerima bola keranjang, bagi menyokong aktiviti sukan dan kecergasan pelajar.
Antara penerima, Lee Swee Shong, berharap bantuan itu dapat diteruskan pada tahun depan.
“Saya sangat gembira menerima bantuan ini. Saya harap agar bantuan seperti ini dapat diteruskan pada tahun depan,” katanya.
Sementara itu Nurul Isma Abdullah Budin pula meluahkan rasa syukur kerana menerima bantuan berkenaan.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan gembira kerana nama saya terpilih untuk menerima sumbangan sempena Tahun Baharu Cina ini,” katanya.
Seorang lagi penerima Thurga Audeara berkata, bantuan yang diberikan tidak mengenal bangsa.
Walaupun ini sambutan Tahun Baharu Cina, kami turut menerima sumbangan. Terima kasih,” katanya.