
POKOK SENA, 10 Mac – Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) menyasarkan pengeluaran daging lembu tempatan meningkat kepada 50 peratus menjelang tahun 2030 bagi meningkatkan tahap sara diri negara.
- Pengeluaran daging lembu tempatan kini sekitar 15 peratus melalui ahli peladang dan usahawan agensi kementerian.
- Kerjasama pelbagai agensi dilaksanakan, termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan peruntukan LPP kepada pertubuhan peladang negeri.
- Peruntukan disalur ke lima negeri berpotensi untuk memperkasa pembangunan ternakan lembu secara berskala besar.
- LPP menyerahkan geran RM900,000 kepada 15 peserta Program Rise Up 2026 untuk pembiayaan agromakanan dan sokongan kejenteraan serta pengangkutan.
Pengerusinya, Datuk Wira Mahfuz Omar berkata, ketika ini pengeluaran daging lembu tempatan hanya sekitar 15 peratus melalui ternakan yang diusahakan oleh ahli peladang serta usahawan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.
Bagi mencapai sasaran tersebut, pelbagai usaha sedang dilaksanakan termasuk penglibatan beberapa agensi berkaitan dalam sektor ternakan.
“Kita sedang berusaha mencapai sasaran kementerian untuk meningkatkan tahap sara diri daging lembu kepada 50 peratus menjelang 2030.
“Usaha ini melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar, selain peruntukan daripada LPP kepada Pertubuhan Peladang Negeri bagi memperkasa ternakan lembu berskala besar,” katanya kepada RTM selepas Majlis Penyerahan Zakat dan Bantuan Geran LPP serta Majlis Berbuka Puasa di sini, Kedah.
Menurut beliau, peruntukan turut disalurkan kepada Pertubuhan Peladang Negeri di lima negeri iaitu Pahang, Terengganu, Selangor, Perak dan Johor yang dikenal pasti berpotensi untuk pembangunan ternakan lembu secara berskala besar.
Pada majlis sama, Datuk Wira Mahfuz turut menyerahkan bantuan geran bernilai RM900,000 kepada 15 peserta di bawah Program Rise Up 2026.
Bantuan tersebut meliputi pembiayaan pengeluaran agromakanan merangkumi sektor tanaman, ternakan dan akuakultur selain pembangunan industri makanan asas tani melibatkan produk makanan dan bukan makanan, pemasaran, kejenteraan ladang serta pengangkutan.