SUBANG JAYA, 8 Februari- Seramai 50 murid daripada keluarga B40 menerima sumbangan bantuan persekolahan bawah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MYDIN Prihatin.
Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin berkata, penerima itu merupakan dari kawasan Parlimen Petaling Jaya dan mereka merupakan sebahagian daripada 800 pelajar kurang berkemampuan yang diraikan menerusi program itu.
"Setiap tahun Pasar Raya Mydin melakukan sumbangan Back2School. Kali ini kita memberikan sumbangan kepada 800 pelajar secara keseluruhannya.
"Tetapi masih banyak lagi aktiviti yang akan dilakukan dan kita akan bekerjasama dengan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakan perkara ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan kepada 800 pelajar pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MYDIN Prihatin di sini.
Setiap penerima mendapat bantuan set kelengkapan persekolahan bernilai RM150.
Dalam pada itu beliau juga berharap agar inisiatif itu dapat mengurangkan beban perbelanjaan kumpulan sasaran, terutama menjelang sambutan Ramadan.
Pada masa sama beliau optimis akan meneruskan program sama di beberapa lokasi termasuk di Pahang, Terengganu dan Sabah.