BANGI, 27 September - Seramai 50 individu menerima suntikan vaksin Human Papillomavirus (HPV) dalam program Kesedaran HPV & Vaksinasi yang dianjurkan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), semalam.
Mereka menerima suntikan vaksin HPV jenis Nonavalent (Gardasil 9) bagi mencegah jangkitan HPV seperti kanser serviks, kanser dubur dan ketuat kelamin.
Program yang diketuai oleh Pakar Perbidanan dan Sakit Puan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Dr. Nur Rowaidah Roslan itu, bertujuan meningkatkan kesedaran warga UKM tentang kepentingan vaksin HPV dalam mencegah jangkitan dan kanser serviks.
Jelas beliau, tahap kesedaran dalam kalangan dewasa masih sederhana, meskipun program imunisasi HPV telah lama dilaksanakan di sekolah.
"Tahap kesedaran masih berada pada tahap sederhana, terutamanya dalam kalangan orang dewasa.
"Justeru, kami menjangka program seperti ini dapat membantu memperjelas maklumat, menghapuskan mitos, serta mendorong lebih ramai mendapatkan vaksin," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berharap program itu akan menjadi titik tolak kepada peningkatan kesedaran masyarakat umum terhadap kepentingan vaksinasi HPV sebagai langkah pencegahan awal yang berkesan.
Selain suntikan vaksin HPV, program turut merangkumi pelbagai aktiviti seperti ceramah kesihatan, pameran interaktif, sesi soal jawab bersama pakar, serta kaunter konsultasi oleh pasukan O&G HCTM.