50 anak yatim, OKU warga PDRM terima sumbangan Aidilfitri

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah

KUALA LUMPUR, 5 Mac – Seramai 50 anak yatim dan orang kurang upaya (OKU) warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima sumbangan tunai sebagai persediaan menghadapi sambutan Hari Raya Aidilfitri.

RINGKASAN BERITA AI
  • Sumbangan mencerminkan keprihatinan kepimpinan tertinggi PDRM terhadap kebajikan anggota pelbagai peringkat.
  • Diharap dapat meringankan beban anggota dalam persiapan menjelang Aidilfitri.
  • Bantuan PDRM tidak tertumpu kepada musim perayaan sahaja, disalurkan mengikut keperluan.
  • YAPEIM menyumbang RM10,000 dan program diharap memperkukuh semangat kebersamaan serta memastikan kebajikan terpelihara.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sumbangan itu mencerminkan keprihatinan kepimpinan tertinggi PDRM terhadap kebajikan anggotanya merangkumi pelbagai peringkat dalam pasukan.

Beliau berkata, inisiatif tersebut diharap dapat membantu meringankan beban anggota khususnya dalam membuat persiapan menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

“Usaha PDRM dalam membantu kebajikan warganya tidak hanya tertumpu pada musim perayaan, sebaliknya bantuan dan sumbangan juga disalurkan daripada semasa ke semasa mengikut keperluan.

“Yang penting ia menunjukkan bahawa dalam ketika kita mahu anggota melaksanakan tanggungjawab mereka tetapi pada masa sama soal kebajikan diberikan keutamaan dan perhatian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada RTM ketika ditemui pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni Sempena Program Jelajah MADANI 2026 di Masjid Bukit Aman, malam tadi.

Pada majlis itu Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YAPEIM) turut menyumbang sebanyak RM10,000 kepada PDRM.

Jelas beliau, program seumpama itu diharap dapat terus memperkukuhkan semangat kebersamaan dalam kalangan warga PDRM, selain memastikan kebajikan anggota sentiasa terpelihara.