50 anak yatim Langkawi terima sumbangan Aidilfitri YAYSH

Majlis Kurniaan dan Sumbangan Aidilfitri Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah bagi Sesi 2026 disempurnakan oleh Tuanku Hajah Haminah Hamidun

LANGKAWI, 11 Februari – Seramai 50 anak yatim daripada enam mukim di Daerah Langkawi menerima sumbangan Aidilfitri daripada Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah (YAYSH).

RINGKASAN BERITA AI
  • YAYSH menghulurkan sumbangan Aidilfitri kepada 50 anak yatim dari enam mukim di Langkawi.
  • Tuanku Hajah Haminah Hamidun merasmikan Majlis Kurniaan dan Sumbangan Aidilfitri sesi 2026.
  • Program tahunan itu membantu persediaan Aidilfitri golongan anak yatim dan meringankan beban keluarga kurang berkemampuan.

Majlis Kurniaan dan Sumbangan Aidilfitri Yayasan Anak-Anak Yatim Sultanah Haminah bagi Sesi 2026 disempurnakan oleh Tuanku Hajah Haminah Hamidun di Bilik Gerakan, Pejabat Daerah Langkawi, Kuah.

Turut hadir Pegawai Daerah Langkawi, Mohamad Subhi Abdullah serta Ahli Lembaga Pengarah YAYSH, Datuk Rosli Awang.

Datuk Rosli berkata, kesemua penerima merupakan anak-anak yatim yang tidak pernah menerima sumbangan daripada yayasan berkenaan sebelum ini.

“Pemberian ini bertujuan membantu penerima membuat persediaan awal menjelang sambutan Aidilfitri, selain menjadi tanda keprihatinan dan usaha berterusan yayasan dalam meringankan beban golongan memerlukan,” katanya.

Jelasnya lagi, program tersebut merupakan acara tahunan YAYSH bagi membantu anak-anak yatim daripada keluarga kurang berkemampuan di Kedah.