fb fb fb fb fb

5 maut, 8 cedera nahas empat kenderaan di Sedenak

FOTO JBPM JOHOR

KLUANG, 28 Mac– Lima individu, termasuk tiga sekeluarga, maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Kilometer 58.1 Lebuhraya Utara-Selatan, dekat Sedenak, Johor, tengah malam tadi.

Nahas itu turut mengakibatkan lapan lagi mangsa cedera.

Ketua Polis Daerah Kluang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Bahrin Mohd Noh, dalam kenyataannya berkata, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Nasarudin Pardi, 36, dan isterinya, Siti Khazira Bani, 35, yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.

Anak pasangan itu, Mariam Nasarudin, 2, disahkan maut di lokasi kejadian.

Dua lagi mangsa yang terbunuh ialah Iklil Nuraudah Muhammad Redzaa, 23, dan seorang penumpang hadapan lelaki berusia lingkungan 20-an, yang identitinya masih belum dikenal pasti.

Siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila sebuah lori yang dipandu lelaki tempatan berusia 35 tahun dari arah Johor Bahru ke Kuala Lumpur hilang kawalan akibat tayar hadapan pecah.

Lori terbabit kemudian bergesel dengan sebuah kereta yang berada di laluan sama sebelum terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan dua lagi kenderaan.

Kenderaan yang dipandu Nasarudin turut terbakar di lokasi kejadian, namun pemandu dan lima penumpang sempat keluar sebelum api merebak.

Tiga lagi penumpang dalam kenderaan Nasarudin serta tiga mangsa lain mengalami kecederaan dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajah Khalsom, Kluang.

Pemandu lori berkenaan telah ditahan untuk siasatan lanjut bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE