MEKAH, 17 Mei - Seramai 5,790 daripada keseluruhan 31,600 orang jemaah haji Malaysia telah tiba di Tanah Suci Mekah dan Madinah setakat semalam.
Daripada jumlah itu, 4,403 jemaah telah berada di Madinah manakala 1,387 pula di Mekah.
Ketua Rombongan Haji 1445H, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, setakat ini, operasi haji di tanah suci mahupun di tanah air berjalan lancar.
“Ada lagi pelbagai aktiviti yang dirangka oleh Tabung Haji yang perlu dilalui oleh jemaah haji kita di Mekah sebelum mereka berangkat ke Arafah.
“Ini termasuk sesi bimbingan yang banyak, mereka akan mengulang kaji balik perkara berkaitan dengan ibadah hukum hakam dan juga berkaitan kesihatan serta pengurusan semasa berada di tanah suci," katanya pada sidang media di bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji, di sini.
Sebanyak 100 penerbangan sewa khas digunakan untuk membawa jemaah haji ke tanah suci dengan 47 penerbangan dijadual mendarat di Madinah manakala 53 lagi tiba di Jeddah sebelum dibawa masuk ke Mekah menaiki bas.
Dalam pada itu, seramai 301 jemaah haji daripada kumpulan KT08 selamat tiba di bangunan penginapan hotel di sini ketika menaiki tujuh buah bas malam tadi.