fb fb fb fb fb

5,500 minyak diesel dirampas dari stor haram di Hutan Melintang

KPDN serbu stor haram simpan diesel tanpa permit/Foto KPDN Perak

TELUK INTAN, 23 Oktober - Sebanyak 5,000 liter minyak diesel bernilai lebih RM280,000 dirampas dalam serbuan di sebuah stor haram di Kampung Melayu Jenderata, Hutan Melintang, di sini, semalam.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata serbuan menerusi Ops Tiris pada 12.18 tengah hari itu mendapati premis berkenaan menyimpan minyak diesel tanpa permit yang sah.

"Rampasan itu melibatkan sebuah tangki skid berisi 5,500 liter cecair disyaki minyak diesel, sebuah tong berisi 50 liter diesel, pam minyak, kenderaan pacuan 4 roda, dan sebuah lori tangki.

"Sebuah lori tangki memasuki premis terbabit disyaki untuk memindahkan cecair disyaki diesel ke dalam tangki skid," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut beliau, bertindak atas maklumat itu, serbuan dijalankan dan menahan dua lelaki warga tempatan iaitu pemandu lori dan pemilik premis untuk siasatan lanjut.

Seorang lelaki berusia 53 tahun yang mengaku sebagai pemilik premis didapati gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan.

Tambahnya, kejayaan itu hasil daripada risikan selama seminggu.

"Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN